Kamis, 08 September 2016

Kelahiran Imam Syafi'i

Pengasas Madzhab Al-Syafie ialah Muhammad bin Idris Al-Syafie. Beliau dilahirkan pada tahun 150 H, pada tahun yang sama dengan kewafatan ulama besar yang hebat iaitu Imam Abu Hanifah (pengasas Madzhab Hanafi). Sampai sebahagian orang mengatakan, "seorang imam telah meninggal dunia dan lahir pula seorang imam yang lain". Menurut Dr. Ahmad Nahrawi Abdus Salam, Imam Al-Syafie dilahirkan di Gaza, Palestin. Desa Gaza ini berdekatan dengan sebuah kota yang dikenali sebagai 'Asqalan. Dan kebanyakan kabilah yang tinggal berhampiran dengan tempat lahir Imam Al-Syafie ini adalah orang-orang Yaman. Pendapat ini turut dibentangkan oleh Prof. Muhammad Abu Zahrah. Seorang pengkaji sejarah, Al-Himawi, berkata, "Pentakwilan ini bagus sekiranya riwayat-riwayat tersebut Sahih." Menurut pendapat yang tepat, Imam Al-Syafie berketurunan Quraisy dari jalur keturunan bapanya. Nama lengkap Imam Al-Syafie ialah Muhammad bin Idris bin Al-'Abbas bin Usman bin Syafi'i bin Al-Sa'ib bin 'Ubaid bin Abd Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutallib bin Abd Manaf. Nasab Imam Al-Syafie bertemu dengan Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam pada Abd Manaf.

Adapun ibu Imam Al-Syafie berasal dari keturunan Al-Azd. Ini adalah berdasarkan riwayat yang sahih kerana Imam Al-Syafie pernah berkata, "Ibuku berasal dari suku Azdi. Nama kunyahnya ialah Habibah Al-Azdiyah." Tetapi, nama lengkap ibunya tidak dapat diketahui dengan pasti. Apa pun, ibu Imam Al-Syafie seorang yang cergas dan pandai mendidik, memang wajar jika sifat ibunya ini dijadikan tauladan.
Buat kali pertamanya, Imam Al-Syafie telah dibawa oleh ibunya melakukan perjalanan dari Palestin ke Mekah ketika Imam Al-Syafie berusia 2 tahun. Dan perjalanan kedua Imam Al-Syafie ke Mekah adalah pada usia Imam Al-Syafie 10 tahun. Beginilah sebagaimana yang diterangkan oleh Prof. Muhammad Abu Zahrah.

Tujuan Imam Al-Syafie dibawa ke Mekah adalah untuk mendekatkan dirinya dengan nasab keluarganya.

Sebenarnya kefakihan Imam Al-Syafie sudah terserlah sejak usianya masih muda remaja. Oleh sebab itu, beliau telah diizinkan oleh Muslim bin Khalid Az-Zanji (Mufti Mekah) supaya memberikan fatwa ketika umurnya 15 tahun.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar